Wednesday, January 20, 2010

1973-1978 Bermulanya persekolahan.



         1973-Merupakan tahun pertama saya menjejakkan kaki ke sekolah. Terpaksa menaiki bas sekolah dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke sekolah. Tahun pertama sekolah bermula pada waktu tengahari (berbanding sekarang hampir semua sekolah mengadakan satu sesi sahaja iaitu pada waktu pagi). Pada 1973, saya ditempatkan di Kelas 1E (kelas terakhir bagi tahun 1) di Sekolah Rendah Larkin 2, terletak kira-kira 6 batu daripada rumah. Antara rakan-rakan yang masih saya ingat ialah Azman, Shamsul, Chong. Guru kelas ialah seorang guru yang berbangsa India. Perkara yang paling menarik sepanjang tahun 1973 ialah tentang perangai rakan-rakan sekelas. Antaranya, Sudin (bukan nama sebenar) yang mengelilingi pokok kelapa setelah tidak dapat menyelesaikan masalahnya. Sebabnya, dia tidak sengaja telah membuang air besar didalam seluar.Setelah dipujuk barulah dia masuk ke kelas tanpa memberitahu masalah sebenar yang beliau hadapi. Tetapi masalah lain pula yang timbul. Bukan sahaja bau yang terpaksa kami hidu tetapi najis yang sudah jatuh diatas lantai. Ekoran daripada itu, terpaksalah tukang kebun sekolah menyelesaikannya.

Seterusnya si Sudin ini pula buat hal bila makan di kantin sekolah. Dia (yang sememangnya masih mentah didalam masalah hukum agama) berkongsi makanan yang dibawa oleh Ah Siong (bukan nama sebenar) dari rumah. Bila ditanya rakan-rakan, lantas dijawabnya "Sedap betul sambal ikan yang Ah Siong bawa tu"
Siapakah yang harus disalahkan didalam hal ini?

.........bersambung....

Monday, January 11, 2010

PRA-SEKOLAH 1972-TADIKA BUKIT HIJAU,KEMPAS







Pada1972, saya bersama-sama 3 rakan yang lain - Rozi, Malik dan Sulaiman menjayakan tadika di Bukit Hijau, Kempas ( Lokasi sekarang -Di Jalan Permatang 5,Kempas). Agak pelik dan mengecewakan kerana hanya kami berempat yang berkesempatan ke pra-sekolah yang berhampiran dengan kawasan perumahan kami. Agak malah dengan guru yang silih berganti.Mula-mula Cikgu Sharifah Fazlon,lepas tu dia berhenti kerana mendirikan rumahtangga. kemudian guru yang baru pulak menjelma (alamat lupa pulak namanya).

Ianya berkesudahan dengan piknik di bandar Johor Bahru dan majlis penutup di hujung tahun

(ala ala Konvo gitu..). kemanalah agaknya rakan-rakan saya. Kali terakhir berjumpa dengan Sulaiman di masjid pada hari raya beberapa tahun yang lalu. Rozi -sewaktu berada di tingkatan 5 (tahun 1983) dan Malik dikedai bapanya hampir 25 tahun yang lalu.


Apapun, yang pasti, tadika Bukit Hijau,kempas telah dapat membantu saya mengenali ABC, mengira 123 dan seterusnya menjadi masyarakat yang boleh membaca, mengira dan mengenali dunia dengan lebih istimewa....


Thursday, January 7, 2010

Pengenalan :Kempas70


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kenapa dan mengapa blog ini dikenali sebagai Kempas70?

Sekadar mengingati diri saya tempat saya dibesarkan sejak meninggalkan Kota Singa pada tahun 1970. Lebih menarik, tempat ini mempunyai sejarah yang tersendiri bagi diri saya dan keluarga saya. Sejak ayah saya meninggalkan kerjaya beliau di Kem Askar British, Clementi di Singapura pada lewat tahun 1969, saya sekeluarga berpindah ke sebuah tempat yang bernama Kampung Kempas. Dibuka sekitar lewat 1960an oleh ninda saya Allahyarham Hj. Abdullah Jaafar bersama rakan-rakannya yang mendapat tanah kurniaan dari kerajaan negeri Johor. Ibu saya diberi sekeping tanah seluas 1 ekar dan disinilah, ayah saya mendirikan sebuah rumah bagi kami sekeluarga.
Kempas terletak kira-kira 8 km daripada bandar Johor Bahru, Johor. Kawasan yang memang dianggap hutan amat menakutkan dan mengerikan ketika saya mula mendiami rumah baru kami. Lebih-lebih lagi belum ada kemudahan seperti paip dan elektrik ketika itu.
Jalan berturap juga masih belum ada.

Blog ini jugalah sambungan kepada blog yang sedia ada http://kempas70.wordpress.com
yang ditulis didalam Bahasa Inggeris (disengajakan) memandangkan ceritanya lebih kepada kisah hidup saya sewaktu menuntut di London.

ROAD TO RETIRE

 JALAN PERSARAAN. Tak pasti ia adalah perkataan yang sesuai bila  menterjemahkan ayat ROAD TO RETIRE. Tinggal lagi 35bulan untuk saya mengak...