LONDON-EDINBURGH-LIVINGSTON-GLASGOW
26JULAI 2022-LONDON
Perjalanan kami ke Scotland pada Selasa 26 Julai 2022 (mengikut laluan timur UK) dibatalkan ekoran kerosakan rel keretapi di sebahagian perjalanan menuju ke Edinburgh.
Langkah seterusnya untuk membeli tiket bas di Stesen Victoria, London (di sini disebut Coach -National Express) juga menemui jalan buntu apabila semua tiket bas habis dijual untuk Hari Selasa 26 Julai 2022.
Berpatah balik ke Stesen Kings Cross dan cuba mencari penyelesaian (Plan B), akhirnya berjaya setelah 3 jam berlegar sekitar Kota London. Kami menaiki keretapi ke Glasgow (dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Edinburgh) dengan menggunakan laluan barat UK (agak jauh sedikit). Perjalanan bermula dari stesen yang lain, Euston, London.
Seandainya kami merancang ke Scotland pada Rabu 27Julai 2022, ianya pasti gagal ekoran mogok keretapi United Kingdom. Mogok untuk menuntut gaji naik dan pelbagai kemudahan adalah normal dan diumumkan kepada umum beberapa hari sebelum terjadinya mogok. Beberapa hari sebelum kami sampai ke London, mogok pekerja penerbangan di Heathrow turut diadakan yang mengakibatkan beberapa syarikat seperti British Airways membatalkan sebahagian penerbangan mereka ke Eropah.
26JULAI 2022-EDINBURGH
Akhirnya, kami sampai Stesen keretapi Edinburgh Waverley setelah 5 jam perjalanan dari stesen keretapi Euston,London yang melalui laluan ke Glasgow (kira-kira jam 6 petang waktu tempatan).
|
sekitar Edinburgh |
|
Pemuzik Jalanan di Edinburgh |
Yang menarik bila ada pemuzik jalanan yang menghiburkan orang ramai. Yang menyedihnya bila ada peminta sedekah yang berada di hadapan kedai-kedai utama di Princess Street, Edinburgh. Lebih mengejutkan sebahagian daripada mereka bukannya orang tempatan. Ada yang dari timur tengah dan akan memberi salam ( sambil meminta simpati ) bila berhadapan dengan orang Islam.Kami menginap di Hotel Cityroomz yang turut menawarkan sarapan pagi ala Continental
(roti bakar, jem, telur, kepingan keju dan juga cereal) dengan bayaran tambahan (sekitar GBP 6 hingga 8 bergantung bila bayaran dibuat). Kami menaiki teksi (black cab) dari stesen keretapi ke hotel ini (sekitar GBP 6) ekoran bagasi yang kami bawa.
|
Hotel Citiroomz, Edinburgh
|
Untuk makan tengah hari atau makan malam, terdapat banyak restoran muslim dari Asia Barat, India dan Pakistan. Untuk sekadar membeli roti, cokelat dan air mineral, terdapat Sainsbury di hadapan hotel kami menginap.Bandar Edinburgh juga dihiasi dengan tarikan seperti patung-patung binatang yang mempromosi haiwan persekitaran dan kempen lindungi haiwan.
|
Patung Zirafah paling banyak di Edinburgh. |
|
Tak jauh dari jalan ke Istana Edinburgh. |
Malam pertama kami lengkapi dengan hidangan roti nan, capati dan kari ayam dari Restoran Madras yang berdekatan sebelum melelapkan mata setelah seharian dalam perjalanan dari London ke Edinburgh.